KUALA LUMPUR: Malaysia dan rakyatnya mengutuk keras tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap konvoi yang dalam perjalanan menyam-paikan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata konvoi itu berada di kawasan perairan antarabangsa dan sebarang tindakan ketenteraan tidak dibenarkan sama sekali oleh undang-undang antarabangsa.
Ini menunjukkan kerakusan rejim Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan menggunakan kuasa sesuka hati tanpa pertimbangan sama ada tindakan yang dilakukan boleh menyebabkan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa.
“Oleh itu, seluruh dunia patut kutuk dan kecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel. Saya berharap insiden ini akan membawa kepada satu bentuk tindakan atau sekatan yang boleh dikenakan terhadap kerajaan Israel.
“Mungkin sesuatu harus dilakukan atau dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan PBB dalam masa terdekat,” katanya selepas perasmian Malam Amal Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.
Perdana Menteri juga berkata beliau masih menunggu maklumat lanjut mengenai keadaan rakyat Malaysia yang berada atas kapal yang diserang oleh tentera Israel itu. Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, berkata Malaysia mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kejadian serangan rejim Israel terhadap kapal Turki Mavi Marmara yang membawa aktivis misi kemanusiaan ke Gaza termasuk 11 rakyat negara ini.
Katanya, serangan di perairan antarabangsa menggambarkan rejim haram Israel tidak menghormati langsung undang-undang antara-bangsa.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan terhadap kapal Mavi Marmara itu yang membawa keperluan asas seperti makanan, perubatan dan bahan binaan bagi keperluan rakyat Palestin.
kata-kata amoi : laporan di atas ini aku copy and paste dari berita harian online. sebak gila aku bila tengok berita dan baca suratkhabar tentang hal ini. kenapa lah mereka tergamak buat macam tu. semoga tuhan melindungi mereka yang tidak bersalah itu. marilah kita beramai-ramai menadah tangan kita, membaca doa qunut nazilah. biar rejim zionis itu mendapat balasan yang setimpal nya. celaka lah engkau israel. amin.